Rindu Mak

Semalam semalam rindu Mak, semalam rindu mak, hari ni lagi rindu mak. Mak pergi pada umur saya 26 tahun. Mungkin ada yang berkata, tak mengapa sbb dah besar, dah ada keluarga sendiri dan mak pergi semasa rumahtangga saya bergolak kencang. Syukur juga mak tak tahu sebab mak meninggal sebelum saya sempat cerita apa apa pun pada mak. Saya malu...
Sebenarnya mak tidak tinggalkan saya, saya yang tinggalkan mak dulu. Maafkan saya Mak.
Semasa mendapat tawaran ke sekolah asrama penuh, saya berkobar2 beritahu Mak dan Ayah yang saya hendak pergi ke sekolah asrama sebab orang kata kalau pergi sekolah asrama boleh pergi ke luar negara. Pada umur 11 tahun minda dah berfikir begitu. Saya diberi izin untuk pergi pada umur 12 tahun. Kakak saya sebelum ini tidak dibenarkan, mungkin sebab kedudukan kewangan.
12 tahun tinggal bersama mak, ayah mendapat penuh kasih sayang. Pada umur 3 tahun 8 bulan dah dapat adik. Mungkin dari umur itu juga mula 'membawa diri' dengan lebih bermain dengan sepupu2 sebab mak sibuk jaga adik dan mengurus rumah. Sikit2 tu ingatlah mak pakaikan kain baju sekolah agama sebab kena ikat, mak buat 'french toast' untuk sarapan. Ayah yang lebih dengan saya, setiap tahun ayah akan ke sekolah berjumpa dengan guru untuk ambil report kad, ayah akan datang untuk Hari Sukan sebab anak dia 'Head Girl' masa darjah 6. Tiap2 tahun saya akan buat kuih raya bersama Ayah.
5 tahun disekolah asrama penuh, balik hanya masa cuti panjang. Cara berhubung dengan mak dan ayah pun melalui surat. Dalam satu penggal mungkin dapat 2 pucuk surat yang ditulis oleh kakak. Mak dan ayah tak pandai menulis. Paling lama bercuti mungkin 2 minggu pada masa itu. Kalau nak dikirakan dalam masa 5 tahun tersebut berape minggu sangat yang diluangkan dengan mak dan ayah. Masa tetap berlalu.
Selepas MCE, tingkatan 5, terus keluar negara. Masuk sekolah asrama semula sekejap sementara nak pergi. Diluar Negara 5 tahun hanya balik pada tahun ketiga disana sebab dapat tiket penerbangan percuma. Cuti 3 bulan , tapi buat praktikal 8-10 minggu. Jadi masa cuti pun tak dapat bersama mak dan ayah.
Habis belajar terus berkerja diKuala Lumpur selepas 3 minggu pulang ke Malaysia. Tinggal bersama kakak dan abang ipar. Setahun berkerja terus kahwin. Selepas 2 bulan berkahwin saya dan suami berpindah ke Kota Bharu. 3 tahun di Kelantan dapat jumpa mak dan ayah 2 kali setahun dan pada tahun ketiga disana dapat berita mak telah pergi meninggalkan kami untuk selamanya.
Sebenarnya saya yang telah lama meninggalkan mak. Sayalah anak yang mungkin kurang bermanja dengan mak. Maaf Mak saya tak tahu warna kegemaran mak, makanan kesukaan mak, mak happy ke tidak. Banyak yang saya tak tahu sebab sayalah yang paling awal tinggalkan mak.
Tapi saya belajar banyak dari Mak. Mak suka tolong orang, semua jiran2 bagaikan saudara dengan mak. Kalau mak masak, mak mesti bagi sedikit kat keluarga adik2 yang duduk serumah walaupun kami makan berasingan semua dapat rasa masakan mak. Sekarang saya faham itulah kasih sayang mak pada adik2nya. Mak tak pernah letak kepentingan dirinya sendiri sebelum memikirkan tentang yang lain. Mak mengajar saya utuk memberi dan dalam ketidak cukupannya kami, mak masih boleh memberi. Mak diuji kematian anak kecil dan seorang lagi berumur 12 tahun. Mak seorang yang tidak bermegah diri, rendah hati dan mak dalam ingatan saya seorang yang baik hati.
Dalam 26 tahun itu hanya 12 tahun pertama saya bersama mak. Mak maafkan saya kerana tinggalkan mak terlalu awal dan tak sempat berbakti pada mak. Saya minta maaf banyak2. Hingga hari ini saya seperti teringin mendengar mak berkata yang dia sayangkan saya tapi apakan daya. Saya rindukan mak..... Al-Fatihah untuk Mak dan Bak.
😥😥😥😥
Berapa ramai yang hidupnya seperti saya, pada zaman itu. Sebab itu saya simpan anak saya dirumah paling lama yang saya boleh. Sorry kids for bearing with your mom.
Kalau belum telefon mak dan ayah hari ni sila telefon ok.

Comments